Jumaat, 31 Oktober 2008

KHUTBAH HARI NI DI MASJID NURUL IMAN SMSLD

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
” PERANCANGAN KEARAH KEMAMPANAN”
( 7 November 2008 / 9 ZulKaedah 1429H )


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sempena dengan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Malaysia pada 6 dan 7 November 2008, maka mimbar ini akan membiacarakan khutbah bertajuk ” PERANCANGAN KEARAH KEMAMPANAN ”.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pembangunan mampan ialah pembangunan bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menafikan generasi yang akandatang. Perancangan ini adalah selaras dengan aspirasi bangsa-bangsa bersatu 2008 iaitu tahun antarabangsa planet bumi 2008. Aspirasi ini memberi penekanan kepada pembentukan dan pengukuhan jalinan hubungan serta kerjasama melalui perancangan kearah meningkatkan kualiti kehidupan dan melindungi kesejahteraan manusia sejagat. Ini bermakna apa juga perancangan atau tindakan kita yang memberi faedah kepada manusia dan kehidupan lain semuanya dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Sehubungan itu diriwayatkan ada seorang bertemu sahabat Nabi SAW iaitu Abu Darda’ R.A yang ketika itu sedang menanam pokok. Lelaki itu bertanya kepada beliau: ” Wahai Abu Darda’, mengapa engkau tanam pokok ini padahal engkau sudah terlalu tua. Sedangkan pokok ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan hasil?.” Jawab Abu Darda’: ” Bukankah aku yang akan memetik pahalanya dikala orang lain memakannya?.” Jawapan Abu Darda’ R.A itu bertepatan dengan satu lagi sabda baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
" Tiada seorang muslim pun yang menanam tanaman atau menaburkan benih kemudian dimakan oleh burung atau manusia melainkan dia itu baginya (pahala) sedekah. "

Muslimim Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Bagaimana pun jika kita perhatikan pada hari ini, berlaku masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran dalam berbagai bentuk, penebangan hutan yang tidak terkawal, hakisan dan air kelodak disebabkan runtuhan kawasan bukit dan bercerun, pembangunan yang tidak terancang, berlakunya jerubu, banjir besar dan bencana lain yang telah mengakibatkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Keadaan ini telah menggugat kesejahteraan dan keselesaan kehidupan manusia.

Masyarakat dunia kini mulai bimbang dengan perubahan iklim dunia dan isu pemanasan global. Peningkatan suhu terjadi akibah banyak gas-gas beracun yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang-kilang perusahaan terperangkap didalam atmosfera. Keadaan ini telah meningkatkan suhu bumi pada paras yang tidak selesa dan kadangkala menyebabkan cuaca ekstrem, termasuk suhu kedinginan dan kepanasan yang melampau.

Kajian di peringkat antarabangsa mendapati penduduk dunia telah menggunakan sumber bumi secara berlebihan dan menghasilkan pencemaran dengan lebih cepat dari keupayaan bumi untuk pulih. Kajian tersebut menunjukkan penggunaan sumber-sumber asli oleh manusia telah meningkat sebanyak 160% dalam jangkamasa 30 tahun lalu berbanding keupayaan sistem semulajadi bumi untuk pulih telah menurun sebanyak 40%.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sehubungan itu, perancangan yang teliti kearah mewujudkan pembangunan yang mampan dilihat sebagai satu langkah berkesan untuk memelihara kestabilan eko-sistem dan kesejahteraan serta keselamatan kehidupan di dunia. Kita semua mempunyai peranan dalam memastikan perancangan dan pembangunan dilaksanakan secara mampan. Pembangunan yang seimbang haruslah tidak menumpukan kepada pembangunan fizikal yang bersifat kebendaan dan luaran sahaja tetapi juga pembangunan insan yang mempertimbangkan faktor-faktor kerohanian dan penghayatan nilai-nilai murni dalam sebarang bentuk dan tindakan pembangunan.

Ini selaras dengan jalinan tiga hubungan yang menjadi asas kesejahteraan kepada sesebuah masyarakat iaitu hubungan manusia dengan pencipta, hubungan manusia dengan manusia; dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112:

Maksudnya: “ Mereka ditimpa kehinaan dimana sahaja mereka berada kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia . “

Antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan ialah dengan penyediaan pelan dan rancangan pembangunan yang mempertimbangkan kesan-kesan ke atas manusia, haiwan dan alam persekitaran. Juga memastikan penebangan hutan dijalankan secara berhemah, mengelakkan penggondolan bukit dan meminimakan penukaran kawasan padi dan kawasan pertanian utama lain dari dibangunkan dengan pembangunan yang tidak bersesuaian. Tindakan-tindakan lain termasuklah amalan kitar semula, melakukan penjimatan dari semua segi penggunaan kenderaan awam seboleh mungkin untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan pengeluaran gas karbon dioksida dari kenderaan keudara dan memperbanyakkan padang permainan, kawasan hijau dan mempergiatkan penanaman pokok-pokok.

Muslimim Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran yang dapat dipetik daripada khutbah hari ini ialah seperti berikut:

1 . Manusia sebagai khalifah Allah dibumi wajib melaksanakan semua tindakan supaya tidak mengakibatkan berlakunya sebarang pencemaran atau kemusnahan terhadap manusia dan alam sekitarnya;
2 . Kita mesti sentiasa mematuhi perancangan, peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan kesan buruk dalam sebarang bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan; dan
3 . Janganlah kita hanya mengejar kemewahan hidup dan kemajuan sedangkan ia mengakibatkan bencana kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang juga menumpang dibumi Allah sebelum kita semua berhijrah kealam akhirat yang kekal abadi.

Mengakhiri khutbah mimbar ini menyeru, marilah kita bersama menggembleng tenaga dalam memelihara bumi yang diamanahkan kepada kita supaya kita dapat mewariskannya kepada anak cucu kita dalam keadaan yang sejahtera, aman dan terpelihara. Bukan dalam keadaan kucar kacir dan mengalami kemusnahan. Inilah teras perancangan dan pembangunan mampan. Teras ini adalah sesuai dengan inspirasi pemuliharaan alam semulajadi dalam pendekatan Islam Hadhari. Semoga kita terhindar dari akibat buruk perbuatan kita sendiri sepertimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 41:
Maksudnya: ” Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). ”

Maksudnya: ” Dan katakanlah: beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. ”

ABI DAN AQEL



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2008

BAHASA ARAB

Untuk pengumuman semua pelajar tingkatan 4 yang akan menduduki Peperiksaan Bahasa Arab Komunikasi Berpusat SBP. Peperiksaan akan diadakan pada 20 JANUARI 2009. HARAP MAKLUM.

Pancing


Bila la aku boleh mancing ni, asyik ujan saja.................. Eja tak bagi aku pergi mancing bah....